Kita tunggu dan lihat. Itulah merupakan buah fikiran kebanyakan pembeli rumah semenjak tahun lepas. Setelah bertubi-tubi diganyang polisi-polisi baharu Bank Negara Malaysia (BNM) bagi pinjaman dan pembelian rumah, serta laporan terbaharu daripada Institut Penyelidikan Khazanah yang menyatakan harga rumah sangat tidak mampu dimiliki, sentimen pasaran jelas lemah dek kekeliruan dan kesaratan maklumat.

Lihat Nombor-nombornya

Menurut Laporan Pasaran Harta 2013 yang dikeluarkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), bilangan pindahmilik hartanah telah menurun sebanyak 10.9% ke 381,130, dan nilai pindahmilik telah meningkat sebanyak 6.7% ke RM 152.37 bilion, berbanding dengan 427,520 dan RM 142.84 bilion pada tahun 2012.

Daripada 381,130 pindahmilik tersebut, 64.6% (246,210) merupakan hartanah kediaman, 18.5%(70,509) merupakan hartanah pertanian, 9.0% (34,302) merupakan hartanah komersil, 2.2% (8,385) merupakan hartanah industri, dan 5.6% (21,343) lain-lain.

Terbaharu, pada suku pertama 2016 (S1 2016), laporan daripada JPPH juga menunjukkan penurunan jumlah transaksi jualan hartanah berbanding suku keempat 2015 (S4 2015). Hampir kesemua jenis hartanah – kediaman, komersil, industri – mempunyai trend ini. Tidak cukup dengan itu, nilai transaksi jualan hartanah turut menurun menurut laporan yang sama. Sebagai contoh, nilai jualan hartanah jenis kediaman menurun daripada RM 19,272.49 juta pada S4 2015 ke RM 16,248.54 juta pada S1 2016.

Penurunan bilangan pindahmilik yang disebutkan di atas bukanlah satu petanda yang aneh, kerana adanya polisi dan undang-undang yang dilaksanakan untuk mengurangkan spekulasi dan peningkatan melampau nilai hartanah. Tidak boleh dinafikan, langkah kerajaan itu berjaya, sedikit sebanyak, kerana yang membeli hartanah sekarang adalah yang betul-betul berduit dan berkemampuan, dek saringan ketat oleh bank-bank. Walaupun nilai pindahmilik menurun sedikit pada S1 2016, data keseluruhan daripada tahun-tahun sebelum menunjukkantrend harga hartanah sentiasa meningkat!

Cari Betul-betul

Anda mungkin fikir harga rumah terlalu mahal sekarang ini, tetapi ketahuilah bahawa masih banyak rumah lama di dalam pasaran yang murah kalau dibandingkan dengan rumah baharu.

Beberapa tahun kebelakangan ini, harga hartanah naik dengan tekal. Sebuah rumah di Bandar Baru Bangi yang dibeli pada tahun 2006 pada harga RM 170,000 sekarang bernilai RM 670,000. Tidak hairanlah anak-anak muda yang baru berkerja asyik berfikiran ‘rumah semuanya mahal.’ Tumpuan mereka terlalu sempit kepada rumah-rumah baharu. Mereka seharusnya luaskan pandangan dan rendahkan piawaian. Jika dua perkara itu dapat dilakukan, mereka akan jumpa rumah yang murah. Bak kata seseorang kepada penulis, “Kau miskin, hiduplah cara orang miskin.”

Antara Isu-isu

Suatu perkara yang penulis perhatikan di dalam industri hartanah: Walaupun masyarakat bumiputera berdepan dengan masalah yang sama dengan masyarakat bukan bumiputera (cth: kos kehidupan yang meningkat), mereka tidak merasakan ia penting untuk membeli hartanah sebagai suatu pelaburan dan untuk mula melabur di usia muda. Masyarakat kita lebih suka ganjaran serta-merta berbanding dengan ganjaran jangkamasa panjang. Buktinya ada di sekeliling kita. Cuba anda kira berapa banyak kereta mewah yang anda temui di jalanraya kita dan berapa banyak kawan atau keluarga yang menghabiskan duit bercuti di sana-sini. Masyarakat bumiputera belum sedar bahawa aset lebih penting dan menguntungkan daripada liabiliti.

Kejutan-kejutan Baharu

Baru-baru ini penulis dikejutkan dengan sebuah penyataan yang sukar untuk diterima. Penulis diberitahu seorang wartawan RTM, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pemilikan rumah di kawasan bandar di kalangan masyarakat bumiputera adalah rendah. Penulis sinis orangnya, jadi semasa diberitahu ‘fakta’ itu, penulis fikir, “mana mungkin!”

Selepas penat mencari, akhirnya penulis jumpa juga sumber fakta tersebut. Dalam kata-kata Perdana Menteri sendiri di Majlis Memperkasakan Ekonomi Bumiputera pada 14 September 2013: “Manakala menurut perangkaan, 58 peratus daripada 72 peratus penduduk Malaysia yang menetap di bandar adalah Bumiputera. Namun, Kerajaan tahu, peratusan pemilikan hartanah bumiputera di kawasan bandar adalah kecil. Maka, tanpa intervensi Kerajaan, bagi membetulkan keadaan ini, kedudukan pemilikan hartanah bumiputera semakin meruncing.” Beliau turut berkata, lebih banyak rumah mampu milik akan dibina bagi membantu masyarakat bumiputera.

Penulis juga turut terjumpa penyataan lain yang lebih khusus. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar pula, masyarakat bumiputera hanya memiliki 5 peratus daripada hartanah di kawasan bandar. Ulas beliau pada sebuah sidang media pada September 2013, “Walaupun ada peningkatan, ia masih rendah dan perlunya kita tingkatkan usaha untuk tingkatkan lagi penyertaan bumiputera dalam sektor ekuiti dan hartanah.” Kerajaan menyasarkan pemilikan ekuiti oleh bumiputera akan mencapai 30 peratus pada tahun 2020, selari dengan Wawasan 2020, tambah beliau.

Dari segi ekonomi negara, kebenaran sudah terang lagi bersuluh. Tapi dari sudut industri hartanah, isu ini tidak ketara dan tidak disedari masyarakat bumiputera marhaen. Buat yang berada dalam industri hartanah, ia adalah suatu kebenaran yang mungkin telah lama disedari, namun tidak pernah diiktiraf, diakui, dibincang, dan/atau dikongsi. Penulis sendiri baru menyedarinya kerana baru sahaja memasuki industri ini.

Realiti-realiti Pahit

Sebenarnya, kerajaan sudah melaksanakan banyak dasar untuk mengubah realiti ini, daripada memastikan diskaun minimum 7 peratus diberi buat pembeli rumah bumiputera yang diperkenalkan pada tahun 1971, hinggalah ke kuota perumahan sebanyak 30% buat pembeli bumiputera. Nombor-nombor ini berbeza bagi setiap negeri, tetapi realitinya adalah: Kerajaan sudah menjalankan tugasnya, namun perkara yang acapkali dihadapi pemaju adalah kesukaran menjual rumah kepada masyarakat bumiputera.

Adakah kita telah menjalankan tanggungjawab kita demi menjamin masa depan anak-anak kita? Demi membantu masyarakat kita? Adakah kita—setelah 59 tahun—sudah mula menukar mentaliti kita supaya mengumpul aset, dan bukan liabiliti? Jika anda lihat mana-mana orang Melayu yang berada, besar kemungkinan, mereka mempunyai sebuah rumah yang besar dan dua atau lebih kereta mewah. Sekarang, cuba anda lihat orang berada daripada masyarakat lain. Mereka bukan sahaja mempunyai sebuah rumah besar atau kondominium kos sederhana dan dua kereta mewah atau sederhana, tetapi dua, tiga, atau lebih hartanah!


Secara tradisionalnya, rakyat Malaysia bukan bumiputera lebih cenderung untuk mengumpul hartanah. Antara sebab-sebabnya adalah untuk:

Fokus mereka hanyalah satu: Menambah kekayaan, bukan mengurangkannya. Mereka mengerti nilai pelaburan, terutama sekali dalam hartanah. Lihatlah, kebanyakan pemaju sendirian berhad yang besar semuanya bukan bumiputera. Negara ini hakmilik rakyat Malaysia dan masyarakat bumiputera, namun secara perlahan, kita seperti telah menjadi minoriti kerana tanah dan ekonomi di negara ini makin sikit yang dimiliki kita.

Bukan mahu berkata yang masyarakat lain tidak berhak memiliki tanah di Malaysia, tetapi perkongsian perlulah adil dan saksama. Walau apa pun, mereka tidak bersalah. Tiada yang bersalah kecuali diri kita sendiri. Kita tidak menjamin masa depan kita, tetapi hanya hanyut dibawa arus masa dan nasib. Ini amat jelas tercermin di dalam budaya kita dan apa yang kita ajari anak-anak kita. Kita sepatutnya mengajar mereka ilmu kewangan dan perniagaan, dan untuk tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata.

Cepat-cepatlah Gerak

Setelah berkecimpung untuk beberapa ketika di dalam industri ini, penulis mulai sedar bahawa masyarakat bumiputera sedang menuju ke suatu lurah yang berbahaya, kerana kita tidak sedar betapa bernilainya pelaburan hartanah serta ilmu pemgurusan kewangan. Terus terang, penulis khuatir jika kita tidak berubah, 100 tahun dari sekarang, kita tidak akan mampu membeli rumah di negara kita sendiri. Mujur istilah ‘sudah terlalu lambat’ tidak relevan. Masih ada masa lagi untuk kita. Bangun dan sedarlah akan kepentingan melabur di dalam diri anda. Insha Allah, kita akan berjaya. Buat sekarang juga. Jangan tunggu lama-lama!

 

*** credit – cnp from http://www.prospekmedia.com

Advertisements