Seronok rasanya bila kita membaca, mendengar dan menelaah panduan-panduan, kelas-kelas dan bengkel-bengkel pengurusan kewangan peribadi dari guru-guru kewangan yang dihormati. Kita pun bersemangat jitu dan mulalah kita bertindak dengan pelbagai teknik dan taktik mengumpul, mengurus, berbelanja dan melindungi harta kita dengan baik.

Bagaimanapun untuk mengekalkan motivasi mengurus itu amatlah tidak mudah. Hari ini kami mahu berkongsi dengan tuan-puan pil-pil motivasi mengurus yang efektif. Ia merupakan satu blueprint kekal di dalam minda tuan-puan, selama-lamanya!

Inilah dia matlamat tertinggi pengurusan wang peribadi. Syurga!

Maka itu, dengan ringkas dan padat, kami kongsikan 7 cara urus wang sampai ke syurga! Sila bersedia semua, mari kita mulakan. Mohon sebelum itu tuan-puan baca ayat seterusnya dengan suara yang boleh didengar oleh diri sendiri, “Saya pengurus wang yang baik. Saya mengurus wang saya sampai ke syurga!”.

4140606488_01ca35f8ba_o

1. Menjadi pembayar zakat yang setia

Lengkap sempurna tubuh badan insan mukallaf adalah dengan lengkapnya rukun keimanan dan rukun keislamannya. Membayar zakat bukanlah pilihan, ia kewajipan. Pilihlah menjadi pembayar zakat. Berusahalah sedaya upaya tuan-puan. Bayarlah seberapa banyak zakat yang mungkin!

Selain daripada Zakat Fitrah di ambang Syawal, ada banyak lagi jenis zakat yang boleh kita jadikan platform untuk menyempurnakan diri kita untuk menjadi seorang pembayar zakat yang setia.

Uruskan wang tuan-puan sebaiknya, simpanlah di simpanan jangka masa panjang di Dana Bebas Kewangan. Semakin banyak, semakin bagus. Semakin dekat tuan-puan dengan sasaran bebas kewangan, semakin tuan-puan dekat dengan nisab zakat. Alhamdulillah.

Semasa artikel ini ditulis, nisab zakat bagi Negeri Selangor adalah RM11,145. Ini bermakna simpanan yang lebih dari nisab itu melayakkan tuan-puan membayar zakat sebanyak 2.5%. Bayarlah zakat simpanan tuan-puan dengan bangga dan setia.

Selain zakat simpanan, bagi tuan-puan yang memilih untuk menyimpan melalui emas, perak dan juga secara peratusan dan sijil saham, tuan-puan juga layak menjadi pembayar zakat apabila sampai nisab dan haul tahunannya. Bayarlah zakat emas, perak dan saham tuan-puan dengan bangga dan setia.

Bagi tuan-puan yang berniaga, sudah tentu tuan-puan tidak mahu melepaskan peluang sebagai pembayar zakat. Buatlah untung banyak-banyak, apabila sampai nisab dan haul tahunan, bayarlah tuan-puan zakat perniagaan tuan-puan dengan bangga dan setia.

Pil motivasi sebagai pembayar zakat ini amat mujarab sekali mengatasi sakit-sakit lemah semangat dan lenguh-lenguh seribu alasan.

Tuan-puan bacakan skrip berikut ini dengan suara yang dapat didengar oleh diri sendiri, “Saya pengurus wang yang baik. Saya membayar zakat dengan bangga dan setia!”.

doa-zakat-fitrah-zakat-fitri

2. Tunaikan umrah dan haji wajib

Tanpa pengurusan wang yang baik, perkara kedua ini sukar sekali dicapai. Ataupun jika tidak sukar ia menjadi terlalu lama untuk dicapai. Tuan-puan yang membaca artikel ini yang masih muda belia, atau di pertengahan usia inilah pil motivasi tuan-puan yang kedua.

Ketahuilah tuan-puan bahawa ibadah umrah dan haji selain menuntut kecukupan dana dan wang belanja, ia juga menuntut komitmen tenaga dan kesihatan tubuh badan yang sangat tinggi.

Uruskan wang tuan-puan. Antaranya dengan menabung. Simpan di Tabung Haji. Cukup sahaja RM1300 daftarlah haji dengan segera. Jangan bertangguh jika mahu menunaikan haji pada usia yang sihat.

Untuk haji kali pertama kos wajib menunaikan haji ialah RM9980. Katakanlah kita ambil angka untuk wang belanja semasa di sana nanti ialah RM2000, ini bermakna tuan-puan perlu menyimpan sebanyak RM11,980.

Jika tuan-puan menyimpan sebanyak RM350 sebulan selama 3 tahun, tuan-puan telah cukup wang untuk menunaikan haji dan umrah wajib berkenaan. Kemudian tuan-puan tinggal tunggu giliran sahaja dan buatlah rayuan jika mahu.

Berusahalah sedaya upaya tuan-puan mengurus wang. Tidak tahu esok lusa, sempat atau tidak tuan-puan menunaikan rukun Islam kelima ini.

Tuan-puan bacakan skrip berikut ini dengan suara yang dapat didengar oleh diri sendiri, “Saya pengurus wang yang baik. Saya kumpul wang saya untuk menunaikan haji dan umrah wajib bagi diri saya. Saya mahu masuk syurga!”.

6 haji wallpaper

3. Berwaqaf dengan gembira dan konsisten

Jika istilah pendapatan bawa balik ada dalam kamus pengurusan kewangan peribadi, istilah berkenaan juga bertepatan dengan perbincangan kita kali ini. Pil ketiga ini lebih kepada pendapatan bawa balik; selama-lamanya!

Peruntukan sebahagian porsi untuk amalan waqaf. Di Malaysia amalan agihan waqaf biasanya pergi kepada pembangunan prasarana, kemudahan, peralatan, kesihatan dan pendidikan.

Ini bermakna, walaupun tuan-puan sudah tiada lagi di dunia ini, harta waqaf tuan-puan masih memberi pahala pasif kepada tuan-puan selagi ia digunakan dan memberi manfaat kepada orang ramai. Ini sudah bagus!

Hari ini amalan waqaf semudah di hujung jari. Hanya melalui online sahaja. Dengan kos semurah 1 unit : RM10 sekali waqaf, tuan-puan tidak akan sangka kuasa tindakan tuan-puan ini. Banyak sekali manfaatnya kepada agama dan masyarakat. Malah lebih menarik dan gembira, tuan-puan boleh juga menikmati pelepasan cukai individu dengan amaun waqaf yang tuan-puan keluarkan itu. Wah, ini sudah untung berganda, untung di dunia dan untung di akhirat!

Tuan-puan bacakan skrip berikut ini dengan suara yang dapat didengar oleh diri sendiri, “Saya pengurus wang yang baik. Saya berwaqaf dengan gembira dan konsisten”.

cashgripof-money

4. Memberi hadiah dan sedeqah dengan ceria dan bahagia

Pil motivasi keempat untuk tuan-puan terus konsisten mengurus wang peribadi tuan-puan adalah berkaitan dengan perasaan. Pil perasaan ceria dan bahagia.

Memberi sesuatu yang disayangi dan diperlukan oleh tuan-puan sendiri kepada orang lain adalah satu perkara. Memiliki perasaan ceria dan bahagia itu satu perkara yang lain pula.

Jika tuan-puan belum sampai ke tahap berzakat, berwaqaf dengan banyak dan layak menunaikan haji dan umrah pertama inilah pil kelazatan yang terawal tuan-puan boleh ambil bagi meneruskan perjuangan tuan-puan mengurus wang untuk bebas kewangan.

Hadiahkan sesuatu kepada orang lain sama ada kecil atau besar. Barang atau manfaat, hadiahkan sahaja. Ia mampu menggembirakan siapa sahaja. Dalam muamalat, ia dinamakan hibah. Peruntukan satu porsi kewangan peribadi tuan-puan untuk memberi hadiah ini.

Tidak syak lagi, kita sudah sangat maklum bahawa sedeqah adalah amalan semua manusia terkaya di dunia. Ia juga amalan semua manusia yang termulia di dunia. Ia juga amalan semua manusia yang dijamin masuk syurga! Sedeqah lah, jangan tapi-tapi.

Tuan-puan bacakan skrip berikut ini dengan suara yang dapat didengar oleh diri sendiri, “Saya pengurus wang yang baik. Saya ceria dan bahagia kerana saya memberi hadiah dan sedeqah kepada orang lain!”.

1sedekah

5. Menyediakan kecukupan buat ibu bapa dan keluarga

Seribu satu teknik mengurus pun yang tuan-puan amalkan, teknik yang satu ini sangat efektif untuk mencetus motivasi berterusan tuan-puan untuk mengurus wang.

Peruntukkan satu porsi khas untuk mencukupkan keperluan ibu bapa dan keperluan keluarga tuan-puan. Aduh, bahagianya rasa! Hilang sebentar semua rasa penat jerih tuan-puan berusaha.

Jangan tuan-puan risaukan jumlahnya, risaukan konsistensinya. Balik lah ke kampung halaman. Tinjau-tinjau keperluan ibu ayah kita. Mungkin tidak semua ibu bapa sampai ke tahap memerlukan, tetapi mesti ada satu keperluan yang boleh tuan-puan sumbangkan.

Tuan-puan lihat pula wajah redup isteri atau suami dan anak-anak. Bukankah mereka amat layak mendapat kecukupan hidup? Bukankah mereka layak mendapat keselamatan? Bukankah mereka layak mendapat kesihatan dan perlindungan? Bukankah mereka layak mendapat pendidikan yang baik-baik?

Amati wajah-wajah abang, kakak dan adik-adik tuan-puan. Tanya kepada diri tuan-puan dengan jujur, adakah sebarang keperluan mereka yang tuan-puan boleh sumbangkan. Perhati wajah-wajah datuk-nenek, pakcik dan makcik tuan-puan, bukankah mereka ada keperluan yang boleh kita berikan?

Bukan berapa banyak, juga bukan berapa baru, juga bukan berapa mahal, juga bukan berapa kerap yang mereka mahukan. Tuan-puan, sesungguhnya inilah modal pahala pasif yang maha hebat kuasanya!

Inilah dia modal restu dan doa yang lebih mahal harganya dari berapa banyak harga barang dan manfaat yang tuan-puan berikan.

Ibu bapa - burung helang

Tuan-puan bacakan skrip berikut ini dengan suara yang dapat didengar oleh diri sendiri, “Saya pengurus wang yang baik. Saya amat gembira cukupkan keperluan ibu bapa dan keluarga saya!”.

6. Menjadi majikan impian

Ceritanya begini, tuan-puan pun mengurus wang. Segala kemahiran dan disiplin telah tuan-puan kuasai. Dengan wang yang tuan-puan urus itu membolehkan tuan-puan menjadi majikan pula kepada orang lain.

Ia menuntut kepada lebih cara, kaedah, teknik pengurusan wang kerana selama ini tuan-puan mengurus wang peribadi, kali ini tuan-puan akan mengurus wang syarikat pula. Pengetahuan dan pengalaman tuan-puan akan lebih berkembang. Itu manfaat di dunia.

Dengan berkongsi rezeki yang tuan-puan ada kepada orang lain ini bermakna tuan-puan membuat lebih banyak amal jariah, lebih waqaf, lebih hadiah, lebih sedeqah. Selain mendapat pahala amal memberi dan berkongsi rezeki, tuan-puan mendapat pahala amanah.

Kerja jadi mudah dan efisyen, bisnes semakin berkembang, aliran tunai semakin aktif, untung rugi dikongsi sama, pahala syurga juga mengalir semakin deras!

Tuan-puan bacakan skrip berikut ini dengan suara yang dapat didengar oleh diri sendiri, “Saya pengurus wang yang baik. Saya seronok menjadi majikan yang amanah!”.

7. Pelaburan kepada pendidikan dan pengalaman

Peruntukkan dan kumpullah porsi kewangan peribadi tuan-puan untuk tujuan meningkatkan ilmu dan pengalaman. Ia adalah pelaburan di dunia dan di akhirat.

Dengan peruntukan ini tuan-puan belanjakan untuk menghadiri kelas-kelas pembangunan diri, membeli buku-buku yang baik-baik, menghantar anak-anak ke sekolah dan pusat pendidikan yang baik-baik. Sesungguhnya hari ini semuanya itu ada harga yang perlu dibayar.

pendidikan

Dengan harga itu Allah telah menjanjikan kemudahan jalan ke syurga kepada orang yang keluar untuk menuntut ilmu (mafhum hadis sohih). Apatah lagi untuk orang yang mengamalkan ilmu. Berganda lagi lah jalan kemudahan menuju syurga yang maha indah itu.

Dengan peruntukan ini tuan-puan kumpul juga pengalaman. Pengalaman berkuli, pengalaman menjadi rakan kongsi dan pengalaman membuat kerja amal. Jelasnya ia juga salah satu dari sumber pahala.

Dengan peruntukan ini tuan-puan bermusafirlah keluar melihat alam buana yang misteri ini. Untuk setiap langkah ilmu dan musafir itu terbentang peluang pahala bagi yang terpilih. Kita bukan hanya jalan-jalan, kita cari ilmu dan pengalaman. Dengannya kita kayakan diri dengan pahala berkongsi.

Tuan-puan bacakan skrip berikut ini dengan suara yang dapat didengar oleh diri sendiri, “Saya pengurus wang yang baik. Saya kumpul wang saya untuk belajar dan tambah pengalaman diri”.

Inilah dia kami kongsikan 7 perkara mengurus wang yang membolehkan tuan-puan mendapat syurga. Insya-Allah. Jika ia untuk pengetahuan, ambillah sebagai ilmu. Jika ia untuk diamalkan, silakan lah beramal.

Jika tuan-puan sanggup mengurus wang untuk membeli kereta dan rumah impian, apa kata tuan-puan termasuk kami sanggup mengurus wang kami biar sampai ke syurga yang indah itu.

P/S – artikel dari http://www.majalahniaga.com/

Advertisements